Showing posts with label Kisah-Kisah Benar - Hidayah Allah. Show all posts
Showing posts with label Kisah-Kisah Benar - Hidayah Allah. Show all posts

Wednesday, September 25, 2013

Al-Quran 'sentuh' Dr. Miller

Diambil dari  http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

INILAH salah satu surah yang telah mengubah kehidupan seorang mubaligh kristian yang juga merupakan seorang pakar matematik serta mendalami ilmu teologi (ketuhanan) Kristian dari Kanada bernama Dr. Gary Miller.
Dr. Miller atau nama Islamnya, Abdul-Ahad Omar mengakui kekagumannya dengan ayat-ayat al-Quran itu yang dianggap sebagai satu keajaiban.
Selain ia membicarakan persoalan duniawi dan ukhrawi manusia dalam segala aspek kehidupan, Dr. Miller turut terkesima waima dirinya seorang yang suka mencari bukti secara saintifik dan logik, disebabkan latar belakangnya.
Ditambah pula, ada antara ayat suci dalam al-Quran itu mencabar masa depan dengan hal-hal yang manusia sendiri tidak dapat meramal atau menjangkakannya.
Salah satu contohnya ialah daripada surah di atas ini. Ia berkenaan hubungan antara Muslim dan Yahudi. Al-Quran mengatakan bahawa orang Yahudi adalah musuh utama bagi Muslim. Hal itu berlaku sampai sekarang di mana musuh bagi umat Islam adalah orang Yahudi.
"Semuanya bermula sebaik saya menerima hadiah senaskah al-Quran pada 1978. Niat awalnya saya mengkaji dan ingin membaca al-Quran untuk menarik orang Islam masuk ke agama Kristian.
"Sebenarnya, saya mahu mencari kesalahan dalam al-Quran, agar dengan cara itu senang untuk saya menggoyahkan akidah umat Islam.
"Anggapan awal saya, kitab al-Quran adalah sebuah kitab kuno dan mengandungi cerita tentang padang pasir sahaja. Akhirnya, setelah mendalami satu demi satu helaian al-Quran, apa yang ditemui saya sendiri tidak pernah menjangkakannya," akui Dr. Miller.
Beliau akhirnya menyedari dan mengakui kebenaran al-Quran.
Kata Dr. Miller, beliau cuba mencari kisah kesukaran atau detik kesedihan Rasulullah apabila kematian isteri dan bapa saudaranya, tetapi tidak jumpa. Begitu juga dengan surah Aisyah, surah Fatimah dan surah Khadijah.
"Apa yang saya temui ialah tentang Maryam (surah Maryam). Sedangkan dalam kitab Injil tidak ditemui langsung.
"Malahan dalam al-Quran Al-Masih Isa disebut sebanyak 25 kali. Sedangkan Nabi Muhammad SAW disebut empat kali sahaja. Hal ini menyebabkan saya makin pening.
"Saya mencari lagi dengan harapan ada kesilapan di dalam al-Quran.
"Saya teruskan pembacaan dengan lebih teliti lagi. Namun sebaik sampai ke surah an-Nisaa' ayat 82, saya tambah terkejut," katanya.
Ujarnya, salah satu prinsip saintifik yang terkenal adalah untuk mencari kesalahan atau mencari kesalahan dalam teori sampai itu terbukti benar.
Apa yang menakjubkan Dr. Miller, bahawa al-Quran meminta orang Islam dan bukan Islam untuk cuba mencari kesalahan di dalamnya.
"Tidak ada penulis di dunia ini memiliki keberanian untuk menulis buku dan mengatakan bahawa hal itu sifar kesalahan.
"Namun al-Quran, sebaliknya. Ia memberitahu anda bahawa ia tidak mempunyai kesalahan dan meminta anda untuk cuba mencari waima satu kesilapan. Yang pastinya, anda tidak akan menemui apa pun.
"Apabila saya bertemu pula dengan surah al-Anbiya' ayat 30, saya dapati ayat ini sama dengan kajian saintifik yang memenangi Hadiah Nobel pada tahun 1973 dan ia adalah mengenai teori ledakan besar.
"Ia menjelaskan teori tentang alam semesta adalah hasil daripada sebuah letupan besar yang mengarah pada pembentukan alam semesta dengan langit dan planet," katanya.
Antara tulisan beliau yang menarik adalah The Amazing Quran (Quran Yang Mengagumkan).
Dalam karyanya ini, beliau membuktikan bahawa al-Quran adalah wahyu dan tidak mungkin ditulis oleh manusia dengan menggunakan pendekatan saintifik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz2ftbGi0wR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Muhammad Farhan Tee Abdullah - Disedarkan oleh Kisah Nabi Ibrahim

Artikel diambil dari Utusan Malaysia 31 Mac 2011 dalam ruangan Ikhwan Muslimin atau
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0331&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

KISAH kecerdikan dan keberanian Nabi Ibrahim menghancurkan satu persatu patung-patung berhala raja Namrud dan meninggalkan patung yang paling besar sambil memegang kapak memang luar biasa.
Muslihat yang direncanakan oleh Nabi Ibrahim itu menimbulkan kemarahan Namrud. Lalu dia bertanyakan kepada Nabi Ibrahim. Ibrahim dengan cerdiknya menjawab: "Tanyakan saja pada berhala yang paling besar itu, barangkali dia yang menghancurkan patung-patung yang kecil itu."
Mendengar jawapan Nabi Ibrahim, Namrud terdiam sambil memendam amarahnya. Bagaimana mungkin patung bisa berbicara. Jadi tidak mungkin dia akan menanyakan kepada patung itu.
Apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu adalah demi membuktikan kekuasaan Allah SWT berbanding patung-patung berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa.
Bagi kalangan anak-anak Islam, kisah yang penuh pengajaran itu sering diceritakan dan diperdengarkan kepada mereka.
Tetapi, siapa sangka ia juga turut terpahat dalam kotak fikiran, sekali gus menyedar dan menyentuh hati kecil Muhammad Farhan Tee Abdullah yang ketika itu masih di sekolah rendah.
Malah, kisah tersebut yang diceritakan oleh seorang ustaz di sekolah, menguatkan keyakinannya bahawa patung-patung berhala tidak membawa manfaat kepada manusia.
Muhammad Farhan yang kini merupakan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, minatnya kepada Islam bermula lebih awal. Ia semakin serius pada usia 10 tahun menerusi pergaulan dengan kawan-kawan sekampung.
Apatah lagi keluarga mereka adalah satu-satunya keluarga Cina yang tinggal di perkampungan Melayu yang majoritinya berketurunan Jawa.
"Pada masa itu, saya ada mengikuti kelas Bahasa Arab pada sebelah petang di sekolah bersama kawan-kawan beragama Islam yang lain. Sayangnya, ia hanya diikuti selama beberapa minggu sahaja, sebelum ayah melarang sebaik dia mengetahuinya.
"Walaupun begitu, saya masih mengikuti kelas pengajian agama secara sembunyi-sembunyi walaupun kelas tersebut tidak wajib diikuti bagi pelajar bukan Islam," kata anak kepada pemilik kedai runcit itu.
Boleh dikatakan keseluruhan hidup Muhammad Farhan, 26, dikelilingi oleh masyarakat Melayu, sehinggakan dia lebih petah dan selesa berbahasa Melayu, sama ada di sekolah mahupun di rumah. Dia pernah ditegur oleh ibu bapanya kerana enggan menggunakan bahasa ibunda mereka.
Kemesraan dan keakraban anak muda itu dengan Islam dan budaya masyarakat Melayu terbukti dengan kebolehan Muhammad Farhan menghafaz surah al-Fatihah.
Malah minat yang telah terpupuk semenjak di sekolah rendah itu semakin bersemarak ketika di sekolah menengah.
Lantas itu, semasa di tingkatan empat dan lima, Muhammad Farhan mengambil Tasauf Islam kerana diberitahu bahawa ia adalah mata pelajaran asas mengenai Islam dan tidak melibatkan wahyu Allah serta penulisan al-Quran.
Sehinggalah semakin menghampiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Farhan dipelawa menjadi anak angkat oleh seorang guru di sekolahnya.
Sejak sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, pergaulannya memang di kalangan pelajar Melayu dan kawan-kawan yang berlatarbelakang pendidikan agama yang baik.
"Alhamdulillah, mereka banyak membantu dan ini jugalah salah satu faktor yang membawa saya kepada Islam.
"Terlintas juga di hati bahawa ini mungkin satu bentuk hidayah Allah di mana saya tidak terjebak dengan kawan-kawan yang sentiasa lara atau leka dengan perkara-perkara negatif.
"Yang menjadikan saya seorang pemilih mungkin disebabkan selepas kematian ayah, kami adik-beradik yang seramai enam orang telah dijaga oleh bapa saudara.
"Memandangkan dia seorang yang agak berdisiplin, tegas dan dikenali ramai di kampung tersebut, secara tidak langsung membuatkan saya lebih berhati-hati dengan siapa saya bercampur dan berkawan," jelasnya.
Malah akui anak kelima itu, pelawaan untuk dia bergelar Muslim, memang terlalu banyak.
Namun, ketika itu dia merasakan belum bersedia atau belum sampai seru. Lagipun, dia masih di bawah penjagaan orang tua.
Jadi, Muhammad Farhan merasakan belum masanya untuk dia memeluk Islam. Sehinggalah selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Waktu itu saya kerja sementara di kilang. Daripada situ barulah saya melihat realiti kehidupan. Saya amat kecewa apabila melihat ramai orang Islam tidak solat, sedangkan menerusi pergaulan saya sebelum ini, saya dikelilingi mereka yang baik-baik.
"Melihat keadaan itu, wujud pemberontakan dalaman sehinggalah datang satu lintasan gambaran, wajah seorang imam yang pernah saya kenali cuma tidak pernah berbual dengannya.
"Daripada situ, saya macam tersedar dan berhasrat untuk mencari Imam Haji Ismaun. Apabila saya temui beliau, saya luahkan hasrat hati untuk belajar ilmu agama dengannya secara mendalam," tambah beliau.
Muhammad Farhan berkata, pada masa itu, beliau bertekad untuk memeluk Islam pada usia 21 tahun.
"Bagaimanapun, baru seminggu belajar, ustaz menyarankan telah sampai waktunya untuk saya memeluk Islam," katanya yang menjadi serba salah tatkala diminta membuat pengislaman.
Setelah tiga hari berfikir, pada 24 Mei 2005, Muhammad Farhan mengucap syahadah di Pejabat Agama Islam Kampung Gajah dengan Imam Ismaun sebagai saksi.
Kemudian mendaftar secara rasmi di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh. Umurnya ketika itu 20 tahun satu bulan sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.
Seperkara luar biasa yang dialami oleh Muhammad Farhan sebaik bergelar Muslim, dia seperti mendapat ketenangan dalaman dan keseronokan dalam kehidupan kerana ada arah tujuan dan hala tuju.
Kalau sebelum Islam, katanya, hidup terasa kosong walaupun pada ketika diri sudah mengetahui tentang Islam.
Di samping itu, konsep ketuhanan dalam Islam telah disedari dan diakui Muhammad Farhan menjadi tarikan kuat yang mengikatnya kepada agama Islam.
Hidayah itu ditemui sejak kecil. Lebih-lebih lagi dia tidak pernah teringin menyembah Tuhan nenek moyangnya.
"Selain konsep ketuhanan, Islam adalah agama yang cukup lengkap. Ia merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan berbanding dengan fahaman-fahaman atau ajaran agama yang lain.
"Islam ada sistem sosial, politik, ekonomi, perkahwinan, kekeluargaan, hal-hal selepas kematian, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi," katanya.
Muhammad Farhan berkata, sembahyang adalah tanda terima kasih manusia kepada Tuhan.
"Perbuatan sujud pula, menunjukkan kehebatan Islam sehingga umatnya boleh bersujud kepada Allah.
"Sehingga masuk ke tingkatan enam, gambaran dan pemerhatian saya tentang Islam bertambah luas, apatah lagi saya tinggal berjauhan daripada keluarga," jelasnya.


Wednesday, January 11, 2012

Hijrah kepada Islam - Amir Junaid Muhadith @ Loon

Assalamualaikum..


Subhanallah.... Besarnya hikmah Hidayah yang diterima dari Allah s.w.t yang tidak terduga dek akal fikiran manusia..betapa seorang manusia yang terkenal dengan imej budak jahat melalui album serta penampilannya iaitu Chauncey Lamont Hawkins @ Loon yang merupakan seorang rappers yang bernaung dibawah label bad boy Records milik taikun hiburan, P.Diddy yang terkenal dengan lagu I Need A Girl (keluaran tahun 2001) berubah dan meninggalkan sama sekali bidang muzik serta imej jahat setelah memeluk agam Islam dengan  nama Islamnya Amir Junaid Muhadith..dan alhamdulillah beliau telah berjaya menunaikan umrah.. Beliau berhijrah menjadi seorang Islam yang mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar..

Kini beliau menumpukan tugas sepenuh masa sebagai pendakwah dengan menggunakan kisah serta penghijrahan nya sebagai pedoman untuk dikongsi bersama.


Apabila terpandang sahaja imej dan ceritanya yang dipaparkan dalam Mingguan Malaysia 27/11/2011 yang lalu tidak semena-mena air mata saya tertumpah....rasa gembira melihat keajaiban yang Allah s.w.t turunkan..


Sedar-sedarlah wahai mereka-mereka yang memang dilahirkan Islam... muhasabah diri...Dekatkan diri kepada Yang Maha Esa sentiasa... Insyaallah kebahagiaan dan kejayaan hidup akan sentiasa anda rasai...

Sesungguhnya Rahmat dan Kasih Sayang Allah terlalu luas untuk kita semua dan tiada tolok bandingannya...Cara kita bersyukur dan menghargai akan segala Rahmat dan Nikmat Allah s.w.t adalah dengan mencari keredhaannya ..melaksanakan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang ..jadikan Al Quran dan Hadis sebagai panduan hidup... perhatikan setiap amal perbuatan/tindakan kita., pakaian....dll.....

"Alhamdulillah ...Terima Kasih Ya Allah atas segala Rahmatmu..dan semoga kejayaan dan kebahgiaan dunia dan akhirat diperolehi olehku dan pembaca blog ini ...amin"

Wassalam

Tuesday, July 26, 2011

Berkhalwat Bawa Brown Kepada Islam

Assalamualaikum...

Setiap kali hari khamis...saya pasti tidak sabar untuk mendapatkan dan membaca akhbar utusan Malaysia ....dan mata saya pasti akan tercari-cari ruangan Ikhwan Muslimin. Di ruangan ini diceritakan kisah-kisah mereka yang telah mendapat hidayah Allah dan memeluk agama Islam... Antara kisah yang saya ingati dan membuatkan airmata ini berguguran adalah dibawah tajuk seperti di atas. Artikel tersebut ditulis bertarikh 16/6/2011 oleh Siti Ainiza Kamsari . Sekalung penghargaan terima kasih buat penerbit dan penulis ruangan tersebut yang berjaya menjalankan tanggungjawab mereka dengan amat baik sekali..


Saya ringkaskan dan ambil sedikit petikan akhbar

Dr. Laurence Brown merupakan seorang doktor yang tidak beragama dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan. (Atheis). Pada masa kelahiran anak perempuannya yang ke 2 yang bernama Hannah, dia telah diuji dimana Hannah dilahirkan dengan keadaan pembuluh darah ke jantung yang sempit menyebabkan peredaran dan aliran darah tidak lancar.

Sebagai usaha menyelamatkan Hannah, doktor terpaksa melakukan pembedahan di dada dan sebagai seorang doktor, Dr Brown amat memahami risiko dan peluang pembedahan yang sangat tipis.

Sebagai kelazimannya, doktor pakar akan menerangkan prosedur dan implikasi kepada keluarga pesakit sebelum pembedahan dijalankan dan si pakar juga tidak lupa meminta Dr Brown untuk banyak berdoa kepada Tuhan. Sebagai seorang yang tidak mempercayai adanya Tuhan, tentu sahaja saranan Dr pakar tersebut merupakan satu pukulan yang hebat kepada Dr. Brown.

Saat kebingungan sedih dan takut dia tetap menuju ke ruangan yang dikhaskan untuk berdoa. dan dalam keadaan acuh tak acuh dan setengah hati, Dr. Brown berkata " Jika Tuhan itu memang ada, benar-benar wujud , dipinta agar anaknya diselamatkan. Dr Brown juga berkata , sebagai balasannya jika anaknya selamat, dia berjanji akan mencari dan mengikuti agama yang paling menyenangkan hatiNya.

Setelah 10-15 minit berbicara dengan Tuhan, dia dipanggil oleh Dr pakar, dan dalam keadaan yang berdebar, tiba-tiba dia amat terkejut apabila Dr. pakar tersebut memaklumkan bahawa anaknya seolah-olah seorang bayi ajaib... tiada sebarang masalah malah dua hari selepas itu anaknya telah dibenarkan pulang ke rumah .

Sejak hari itu Dr Brown mula mencari tuhan...dari satu agama ke satu agama dan akhirnya mengenal AlQuran dan Islam dan memeluk agama Islam dan menjadi muslim sejak 10 tahun yang lalu. Semua soalan tentang permasalahan manusia dan dunia ,ternyata AlQurandapat menjawab persoalan yang dicari-cari jawapannya selama ini.

Semoga kisahnya ini dapat memberi pengajaran dan keinsafan kepada kita semua agar sentiasa mencari keredhaan Allah s.w.t dan bersyukur dengan segala Rahmat dan Kasih sayangNya serta menjadi umat manusia yang beriman dan bertaqwa....

wassalam
Pn Sha