Wednesday, September 25, 2013

Muhammad Farhan Tee Abdullah - Disedarkan oleh Kisah Nabi Ibrahim

Artikel diambil dari Utusan Malaysia 31 Mac 2011 dalam ruangan Ikhwan Muslimin atau
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0331&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

KISAH kecerdikan dan keberanian Nabi Ibrahim menghancurkan satu persatu patung-patung berhala raja Namrud dan meninggalkan patung yang paling besar sambil memegang kapak memang luar biasa.
Muslihat yang direncanakan oleh Nabi Ibrahim itu menimbulkan kemarahan Namrud. Lalu dia bertanyakan kepada Nabi Ibrahim. Ibrahim dengan cerdiknya menjawab: "Tanyakan saja pada berhala yang paling besar itu, barangkali dia yang menghancurkan patung-patung yang kecil itu."
Mendengar jawapan Nabi Ibrahim, Namrud terdiam sambil memendam amarahnya. Bagaimana mungkin patung bisa berbicara. Jadi tidak mungkin dia akan menanyakan kepada patung itu.
Apa yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim itu adalah demi membuktikan kekuasaan Allah SWT berbanding patung-patung berhala yang tidak mampu melakukan apa-apa.
Bagi kalangan anak-anak Islam, kisah yang penuh pengajaran itu sering diceritakan dan diperdengarkan kepada mereka.
Tetapi, siapa sangka ia juga turut terpahat dalam kotak fikiran, sekali gus menyedar dan menyentuh hati kecil Muhammad Farhan Tee Abdullah yang ketika itu masih di sekolah rendah.
Malah, kisah tersebut yang diceritakan oleh seorang ustaz di sekolah, menguatkan keyakinannya bahawa patung-patung berhala tidak membawa manfaat kepada manusia.
Muhammad Farhan yang kini merupakan Pegawai Dakwah dan Penyelidikan di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) berkata, minatnya kepada Islam bermula lebih awal. Ia semakin serius pada usia 10 tahun menerusi pergaulan dengan kawan-kawan sekampung.
Apatah lagi keluarga mereka adalah satu-satunya keluarga Cina yang tinggal di perkampungan Melayu yang majoritinya berketurunan Jawa.
"Pada masa itu, saya ada mengikuti kelas Bahasa Arab pada sebelah petang di sekolah bersama kawan-kawan beragama Islam yang lain. Sayangnya, ia hanya diikuti selama beberapa minggu sahaja, sebelum ayah melarang sebaik dia mengetahuinya.
"Walaupun begitu, saya masih mengikuti kelas pengajian agama secara sembunyi-sembunyi walaupun kelas tersebut tidak wajib diikuti bagi pelajar bukan Islam," kata anak kepada pemilik kedai runcit itu.
Boleh dikatakan keseluruhan hidup Muhammad Farhan, 26, dikelilingi oleh masyarakat Melayu, sehinggakan dia lebih petah dan selesa berbahasa Melayu, sama ada di sekolah mahupun di rumah. Dia pernah ditegur oleh ibu bapanya kerana enggan menggunakan bahasa ibunda mereka.
Kemesraan dan keakraban anak muda itu dengan Islam dan budaya masyarakat Melayu terbukti dengan kebolehan Muhammad Farhan menghafaz surah al-Fatihah.
Malah minat yang telah terpupuk semenjak di sekolah rendah itu semakin bersemarak ketika di sekolah menengah.
Lantas itu, semasa di tingkatan empat dan lima, Muhammad Farhan mengambil Tasauf Islam kerana diberitahu bahawa ia adalah mata pelajaran asas mengenai Islam dan tidak melibatkan wahyu Allah serta penulisan al-Quran.
Sehinggalah semakin menghampiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Farhan dipelawa menjadi anak angkat oleh seorang guru di sekolahnya.
Sejak sekolah rendah sehinggalah sekolah menengah, pergaulannya memang di kalangan pelajar Melayu dan kawan-kawan yang berlatarbelakang pendidikan agama yang baik.
"Alhamdulillah, mereka banyak membantu dan ini jugalah salah satu faktor yang membawa saya kepada Islam.
"Terlintas juga di hati bahawa ini mungkin satu bentuk hidayah Allah di mana saya tidak terjebak dengan kawan-kawan yang sentiasa lara atau leka dengan perkara-perkara negatif.
"Yang menjadikan saya seorang pemilih mungkin disebabkan selepas kematian ayah, kami adik-beradik yang seramai enam orang telah dijaga oleh bapa saudara.
"Memandangkan dia seorang yang agak berdisiplin, tegas dan dikenali ramai di kampung tersebut, secara tidak langsung membuatkan saya lebih berhati-hati dengan siapa saya bercampur dan berkawan," jelasnya.
Malah akui anak kelima itu, pelawaan untuk dia bergelar Muslim, memang terlalu banyak.
Namun, ketika itu dia merasakan belum bersedia atau belum sampai seru. Lagipun, dia masih di bawah penjagaan orang tua.
Jadi, Muhammad Farhan merasakan belum masanya untuk dia memeluk Islam. Sehinggalah selepas menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
"Waktu itu saya kerja sementara di kilang. Daripada situ barulah saya melihat realiti kehidupan. Saya amat kecewa apabila melihat ramai orang Islam tidak solat, sedangkan menerusi pergaulan saya sebelum ini, saya dikelilingi mereka yang baik-baik.
"Melihat keadaan itu, wujud pemberontakan dalaman sehinggalah datang satu lintasan gambaran, wajah seorang imam yang pernah saya kenali cuma tidak pernah berbual dengannya.
"Daripada situ, saya macam tersedar dan berhasrat untuk mencari Imam Haji Ismaun. Apabila saya temui beliau, saya luahkan hasrat hati untuk belajar ilmu agama dengannya secara mendalam," tambah beliau.
Muhammad Farhan berkata, pada masa itu, beliau bertekad untuk memeluk Islam pada usia 21 tahun.
"Bagaimanapun, baru seminggu belajar, ustaz menyarankan telah sampai waktunya untuk saya memeluk Islam," katanya yang menjadi serba salah tatkala diminta membuat pengislaman.
Setelah tiga hari berfikir, pada 24 Mei 2005, Muhammad Farhan mengucap syahadah di Pejabat Agama Islam Kampung Gajah dengan Imam Ismaun sebagai saksi.
Kemudian mendaftar secara rasmi di Jabatan Agama Islam Perak di Ipoh. Umurnya ketika itu 20 tahun satu bulan sebelum menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia di Sintok, Kedah.
Seperkara luar biasa yang dialami oleh Muhammad Farhan sebaik bergelar Muslim, dia seperti mendapat ketenangan dalaman dan keseronokan dalam kehidupan kerana ada arah tujuan dan hala tuju.
Kalau sebelum Islam, katanya, hidup terasa kosong walaupun pada ketika diri sudah mengetahui tentang Islam.
Di samping itu, konsep ketuhanan dalam Islam telah disedari dan diakui Muhammad Farhan menjadi tarikan kuat yang mengikatnya kepada agama Islam.
Hidayah itu ditemui sejak kecil. Lebih-lebih lagi dia tidak pernah teringin menyembah Tuhan nenek moyangnya.
"Selain konsep ketuhanan, Islam adalah agama yang cukup lengkap. Ia merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan berbanding dengan fahaman-fahaman atau ajaran agama yang lain.
"Islam ada sistem sosial, politik, ekonomi, perkahwinan, kekeluargaan, hal-hal selepas kematian, akhirat, syurga, neraka dan banyak lagi," katanya.
Muhammad Farhan berkata, sembahyang adalah tanda terima kasih manusia kepada Tuhan.
"Perbuatan sujud pula, menunjukkan kehebatan Islam sehingga umatnya boleh bersujud kepada Allah.
"Sehingga masuk ke tingkatan enam, gambaran dan pemerhatian saya tentang Islam bertambah luas, apatah lagi saya tinggal berjauhan daripada keluarga," jelasnya.


No comments:

Post a Comment